Lelaki Warga Asing Bakar Mercun Dari Dalam Kereta Bergerak Ditahan Polis

0
161

KUALA LUMPUR, 13 November- Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki membakar mercun dari dalam kereta yang sedang bergerak seperti video tular yang menunjukkan insiden itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pada pukul 8.30 malam semalam, pihak Polis telah mengesan sebaran sebuah klip video berdurasi 14 saat yang memaparkan sebuah kereta yang dipandu oleh individu tidak dikenali membakar mercun (bunga api) secara bergerak di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur.

Beliau berkata, video tersebut telah ditularkan oleh akaun media sosial Instagram Kosmo Online seperti di pautan www.instagram.com/reel/czinw_svzs4/?igshid=bhrhc3pvbdrodzn.

“Hasil semakan pihak polis mendapati video tersebut dengan jelas memaparkan perbuatan berbahaya tersebut.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing berumur 31 tahun serta merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak yang digunakan semasa kejadian,”menurutnya dalam satu kenyataan.

Ahmad Sukarno berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan akan direman di IPD Sentul bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan yang menyebabkan letupan dengan niat mendatangkan bahaya kepada nyawa atau harta benda yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

 

“Polis Kuala Lumpur ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here