KLUANG – Seorang lelaki dari Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 66 Jalan Batu Pahat – Mersing petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu melibatkan mangsa, Jefri Kunah, 32, yang menunggang motosikal Honda RS-X dan lori jenis Mercedes Benz dipandu Phang Yong Kiew, 68.
Katanya, siasatan awal mendapati Jefri yang tidak mempunyai lesen memandu dalam perjalanan dari Felda Kahang Timur menuju ke bandar Kluang manakala lori datang dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, mangsa dikatakan telah memasuki laluan lori berkenaan seterusnya berlaku pertembungan.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia dilokasi,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk poses bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber – Kosmo! Online