NIBONG TEBAL- Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Tasek Mutiara 2, Sungai Bakap di sini pada malam Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Tanusi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.07 malam.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, didapati sebatang pokok besar telah menghempap sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu mangsa.
“Mangsa berusia 47 tahun mengalami cedera ringan dan dia ke hospital dengan sendiri untuk mendapatkan rawatan.
“Bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemotongan dan mengalihkan pokok tumbang tersebut sehingga selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, operasi turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berhampiran.
Sumber – Sinar Harian