KAJANG – Mengamuk gara-gara ditegur mengetuk tempat kad Touch nGo dengan kuat, seorang lelaki warga tempatan ditahan pihak polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular kejadian pertengkaran antara pengguna jalan raya dan jurutol di sebuah plaza tol berhampiran Jalan Batu 9 Cheras, di sini.
Beliau berkata, dalam video tersebut, seorang lelaki telah keluar turun dari kenderaan dan menuju ke kaunter tol sambil memarahi jurutol.
Kata beliau lagi, suspek turut bertindak menendang dinding kaunter tol tersebut dan kemudiannya beredar dari lokasi kejadian.
“Berdasarkan siasatan dijalankan, punca kejadian kerana suspek ditegur mengetuk tempat kad ‘Touch n Go’ dengan kuat semasa menggunakan perkhidmatan itu.
“Berang kerana ditegur, suspek mengamuk dan memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol.
“Bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 31 tahun telah ditahan jam 7 malam bersama sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna hitam di sebuah taman perumahan di kawasan Hulu Langat, Selangor bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Naazron berkata, hasil pemeriksaan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum sehingga RM100 dan siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Permohonan reman ke atas suspek yang bekerja sebagai mekanik akan dilakukan pada hari ini (Selasa).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Sumber – Sinar Harian