KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Penduduk Desa Tun Razak Apartment digemparkan dengan satu letupan kuat yang disusuli kebakaran di sebuah unit tingkat 10 pangsapuri itu malam tdi.
Kejadian turut mengakibatkan seorang lelaki cedera melecur 30 peratus anggota badan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Norasmah Alias menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.59 malam dan 16 anggota dengan kekuatan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi serta BBP Bandar Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dan berlaku letupan di sebuah unit terbabit dan ia turut membabitkan dua unit berhampiran.
“Akibat kejadian itu, seorang lelaki berusia 32 tahun melecur dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan dilaporkan sedang dirawat di zon merah,” katanya.
Norasmah berkata insiden itu turut menyebabkan 12 motosikal rosak setelah dihempap dinding konkrit dapur unit apartment yang runtuh akibat terbakar itu.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.