Kuala Lumpur: Pengangkutan udara menjadi pilihan utama umat Islam untuk ke Tanah Suci Makkah bagi untuk menunaikan ibadat umrah dan haji.
Namun berbeza dengan 18 individu ini yang memilih laluan darat untuk merealisasikan impian masing-masing.
Kembara silaturahim ke bumi anbiya itu turut disertai seorang peserta berbangsa India, P Tanabalan, bermula 20 Mac lalu.
Peserta menggunakan 10 kenderaan membabitkan tiga kereta, tiga pacuan empat roda dan empat motosikal.
Kesemuanya juga selamat tiba secara berperingkat dan berkumpul di Tanah Suci Makkah pada 4 Mei lalu.
Bagaimanapun, hanya Tanabalan, 35, yang tidak menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Sebaliknya, kakitangan swasta itu menamatkan kembara itu sehingga ke Madinah saja untuk melihat bangunan dan budaya masyarakat setempat.
Kembara itu ditamatkan sepenuhnya oleh juruterbang, Muhammad Fawwaz Zam Zam, 42, dan rakannya, Sazali Hassan Basri serta lima individu lain yang menggunakan motosikal termasuk peserta paling muda, Muhammad Aidil Nursulhi, 19.
Manakala peserta lain terpaksa menggunakan pengangkutan udara dari Pakistan kerana kekangan masa dan model kenderaan yang digunakan tidak menepati syarat Kerajaan Arab Saudi iaitu pemanduan di sebelah kiri.
Muhammad Fawwaz berkata, dia menamatkan perjalanan kembara paling bermakna dalam hidupnya itu dengan mengambil masa selama 33 hari menggunakan Proton Wira pemanduan kiri.
Dia turut menunaikan ibadat umrah dan ketika ini sudah kembali ke ke tanah air.
Menurutnya, ini pengalaman pertamanya mengikut laluan darat untuk ke Tanah Suci Makkah kerana sebelum ini, dia menggunakan pengangkutan udara.
Namun, katanya, biarpun kembara itu melalui tempoh yang mencabar tetapi ia meninggalkan 1,001 kenangan tidak ternilai.
“Saya mahu membanggakan (negara) dengan memandu kereta buatan tempatan bagi melengkapkan kembara ke Tanah Suci Makkah.
“Misi menggunakan jalan darat ini juga adalah impian saya sejak 2018 namun terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.
“Perjalanan yang dilalui sangat mencabar selain membabitkan faktor cuaca dan bentuk muka bumi.
“Setiap negara mempunyai cabaran tersendiri yang mencabar mental dan fizikal setiap pengembara.
“Contoh, di China, kami berdepan cuaca sejuk dan salji, laluan di pergunungan namun pemandangannya cukup indah dan mendamaikan.
“Di Nepal pula, laluannya lebih mencabar kerana faktor jalan (kurang baik) manakala di India, kami berdepan cuaca panas. Paling tidak boleh dilupa ialah ketika melalui Iran selama dua hari.
“Walaupun jalan dilalui bukan dalam kawasan bahaya namun saya tetap berhati-hati sebelum saya akhirnya mengirim kereta ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui khidmat pos untuk mengelak daripada melalui Iraq.
“Ia meninggalkan kenangan berharga dan saya sendiri tidak tahu, adakah saya akan melalui pengalaman berkenaan sekali lagi,” kata bapa kepada lima anak itu.
Menurutnya, peserta kembara memulakan perjalanan bersama sehingga ke China sebelum meneruskan perjalanan mengikut mod, kemampuan kenderaan dan destinasi persinggahan masing-masing sebelum akhirnya semua berkumpul di Tanah Suci Makkah, kecuali Tanabalan.
Seorang lagi peserta, Azwa Ahmad, 52, berkata, dia dan suami, Zakiamin Harun, 56, tiba di Tanah Suci Makkah pada 1 Mei lalu.
Biarpun gagal menamatkan kembara ke Tanah Suci Makkah dengan Proton Wira yang dibeli khas untuk perjalanan itu namun katanya, perasan syukur dirasai melebihi rasa kecewa sebaik tiba di Tanah Suci berkenaan.
“Berat hati sebenarnya kerana tidak dapat menamatkan kembara ini biarpun persediaan sudah dibuat termasuk membeli kereta dengan pemanduan kiri selain melalui pelbagai cabaran seperti terbabit kemalangan di Tibet.
“Bagaimanapun, saya anggap ini bukan rezeki kami malah yakin ini adalah ketentuan Allah SWT. Paling penting, kami selamat tiba di bumi anbiya walaupun tanpa kereta,” katanya.
Berkongsi pengalaman sama, Kamal Lokman Idris, 50, mengatakan yang dia teruja apabila dapat melakukan misi kembara berkenaan dengan memandu Perodua Axia sehingga ke Pakistan sebelum mengambil penerbangan ke Arab Saudi kerana kekangan masa untuk menunaikan umrah sebelum musim haji bermula.
“Sepanjang misi kembara, ia memberi pelbagai pengalaman mencabar, pahit dan manis yang akan menjadi kenangan berharga untuk dikenang saya dan isteri, Sarimah Abd Razak, berusia 48 tahun dan anak kami, Danish Lokman, berumur 15 tahun. Keadaan jalan raya di Nepal amat mencabar dan kereta kami turut berdepan pelbagai rintangan seperti terlanggar selain enjin rosak menyebabkan ia terpaksa ditunda sehingga ke Kathmandu. Pengalaman itu sukar untuk digambarkan tetapi Alhamdulillah, Perodua Axia ini berjaya dibaiki di Nepal. Ini kerana, Nepal rupa-rupanya mempunyai sebuah pusat penyelenggaraan Perodua yang kami sendiri tidak tahu kewujudannya (mereka dibantu orang tempatan untuk ke situ),” katanya yang menjalankan perniagaan katering.
Dia menyifatkan kembara itu sebagai perjalanan yang menakjubkan kerana bukan saja berpeluang melihat keindahan ciptaan Allah SWT dan meneroka perjalanan di negara luar malah mereka juga dapat berjumpa pelbagai individu yang berbeza budaya dan agama.
Sumber: Harian Metro