PETALING JAYA – Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu, selepas membuat penghantaran (COD) telefon bimbit jenis iPhone kepada seorang pelanggan.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Daniel Haikal, 27, itu dikatakan sempat menghubungi tunangnya melalui panggilan video dalam keadaan cemas sambil menangis meminta tolong.
Berdasarkan log aktiviti, lokasi terakhir Muhammad Daniel adalah di Pulau Pinang dan dia sepatutnya pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur selepas selesai COD pada tarikh tersebut.
Menerusi perkongsian oleh ibu saudaranya yang dikenali sebagai Eyraswan Ramadhan di Instagram semalam, wanita itu meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan anak saudaranya.
“Anak buah saya, Daniel sudah hilang sejak beberapa hari lalu selepas pergi COD iPhone dengan pelanggan yang tidak dikenali.
“Dia sempat ‘video call’ dengan tunangnya dan meminta tolong untuk diselamatkan. Dalam masa sama dia menangis dan berlari untuk mencari jalan keluar dari tempat tersebut (tidak dinyatakan).
“Tetapi ‘video call’ terputus sebab bateri telefon habis. Dia tak sempat beritahu di mana lokasinya,” katanya.
Bercerita lanjut, setakat semalam, pihak keluarga masih belum menerima sebarang maklumat terbaharu berkaitan Muhammad Daniel meskipun laporan polis telah dibuat.
“Semoga Allah permudahkan urusan anakku, Muhammad Daniel Haikal. Semua tempat mama cari abang, tak jumpa. Semoga abang cepat balik.
“Ya Allah ya Tuhan, lindungilah anakku. Jauhkanlah dia dari benda-benda yang tak baik,” luahnya.
Sumber: Kosmo