KUANTAN – Seorang lelaki yang hilang ketika mencari kupang di muara Sungai Balok, di sini ditemukan lemas kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa, Leong Wai Seng,57, ditemui oleh penduduk kampung kira-kira pukul 6.30 petang semalam di muara sungai Balok.
“Hasil pengecaman oleh majikan mangsa telah mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang dilaporkan lemas.
“Pemeriksaan terhadap fizikal mangsa mendapati tiada kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan kegembiraan sekumpulan individu beriadah sambil mencari kupang di muara Sungai Balok di sini bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka dikhuatiri lemas ketika mencari lokan.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa berjalan mencari kupang di kawasan muara sungai ketika air surut sebelum mangsa disedari hilang ketika air pasang.
Sumber – Kosmo! Online