GEORGE TOWN, 12 Oktober- Sorang lelaki ditemukan mengalami kecederaan parah dan berlumuran darah dipercayai ditikam dalam insiden pergaduhan berpunca daripada masalah hutang di sebuah pasar di Lebuh Cecil semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 3 petang sebelum ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati seorang lelaki berusia 26 tahun berada di dalam keretanya dalam keadaan cedera parah.
“Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mengalami kecederaan luka tikaman di bahagian kaki dan perut dipercayai ditikam dengan menggunakan senjata tajam dan mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Setakat ini, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,”katanya dalam kenyataan tersebut.
Soffian mejelaskan, siasatan awal mendapati punca kejadian pergaduhan tersebut adalah disebabkan masalah hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di kawasan Macallum pada 6.40 petang yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan permohonan reman dibuat hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP K. Linkeswaran di talian 04-2181 831 bagi membantu siasatan,.
“Orang ramai juga dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan gambar atau video berhubung insiden itu,”katanya.