Lelaki AS, Turkiye, Georgia Ditahan Berkait Kes Shalom Avitan Sudah Dihantar Pulang Ke Negara Asal

0
146
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga asing yang ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol, dihantar pulang ke negara asal.

Ketiga-tiga mereka yang dikaitkan selepas penahanan lelaki warga Israel yang turut memiliki kewarganegaraan Perancis, Shalom Avitan, dihantar pulang selepas siasatan terhadap mereka selesai dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan penghantaran pulang dilakukan selepas mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi proses pemindahan imigran larangan daripada Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki dipindah keluar dari negara ini untuk ke negara asal mereka iaitu Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia, bermula kelmarin dan semalam.

“Ketiga-tiga suspek termasuk tujuh warga tempatan dibebaskan 10 Mei lalu di bawah jaminan polis,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pagi tadi.

Rusdi turut mengulas mengenai tindakan polis yang membebaskan dan memberi jaminan terhadap tujuh lelaki tempatan yang ditahan dalam siasatan kes sama.

“Semua mereka boleh ditahan semula sekiranya ada bukti baharu.

“Kena faham bebas dengan jaminan, kalau ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa. Jangan ingat kalau dibebaskan dia lepas begitu sahaja,” katanya.

19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan bagi siasatan kes berkaitan Avitan.

Daripada jumlah itu, tiga termasuk suspek utama iaitu Avitan dan pasangan suami isteri warga tempatan didakwa di mahkahmah manakala lima lagi dibebaskan.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here