KUALA LUMPUR, 15 November- Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia membuat keputusan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) untuk berada dalam program Road to Gold (RTG).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan perkara tersebut selepas beliau menerima pengesahan daripada Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam.
Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG, berkata pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet untuk bersetuju bagi menyertai program RTG.
“RTG adalah satu kemudahan yang kita wujudkan untuk membantu memberikan perkhidmatan tambahan untuk atlet yang akan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kita juga nyatakan RTG adalah platform yang kita nak hapuskan semua birokrasi sebelum ini.
“Namun, saya tidak boleh paksa atlet yang tidak mahu terima ataupun mereka ada fasiliti lain yang mereka ada akses. Itu terpulang kepada atlet masing-masing dan sebab itu, kita sediakan kontrak asas untuk atlet.
“Saya percaya mahu atau tidak, perlu atau tidak perlukan perkhidmatan tambahan daripada RTG adalah keputusan yang perlu dibuat oleh atlet sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Hannah memaklumkan Zii Jia adalah satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG masih belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.
Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga hari ini bagi melengkapkan komitmen berkenaan.
RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat di temasya terbesar dunia itu.
Ia termasuklah sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN. Atlet juga diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan.
Ketika ini, seramai 15 atlet dipilih berada dalam program RTG iaitu dua jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Sahrom; dua gandingan terjun sensasi, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta badang angkat berat, Mohd Aniq Kasdan.
Bakinya adalah sembilan pemain badminton iaitu perseorangan lelaki, Zii Jia dan Ng Tze Yong; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Onh Yew Sin-Teo Ee Yi; beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran; Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.