Lebuhraya Utara-Selatan Sesak, Kemalangan Ngeri Libatkan 7 Kenderaan

0
136

IPOH – Dua maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk tiga buah treler di Kilometer 288.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua mangsa yang maut merupakan pemandu treler muatan gula pasir dan barangan logam.

Katanya, kemalangan turut menyebabkan seorang mangsa patah tangan dan dibawa ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

“Maklumat kemalangan itu diterima pada 7.46 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Kemalangan membabitkan tiga treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, terdapat dua mangsa tersepit dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mereka segera dijalankan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Plustrafik dalam ciapannya di aplikasi X pada pukul 7.38 pagi memaklumkan trafik tidak bergerak dengan semua lorong di kedua-dua arah terhalang.

Bagi mengelak kesesakan teruk, semua kenderaan yang datang dari arah utara diminta keluar di Plaza Tol Simpang Pulai manakala dari selatan keluar di susur Gopeng. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here