Lebih 60 Penunggang Motor Ekzos Paip ‘Frust’ Disuruh Tukar Ke Model Asal

0
46

KUALA LUMPUR – Lebih 60 penunggang motosikal yang didapati mengubah suai ekzos diarahkan untuk menukar kembali komponen motosikal tersebut kepada model asal di pekarangan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, hari ini.

Bukan sahaja bakal dikompaun, malah terdapat kesalahan lain dapat dikesan antaranya menanggalkan brek belakang dan mengubah suai komponen yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan ubah suai ekzos antara dikesan dalam Operasi Motosikal/ Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar ibu negara, Sabtu lepas.

Katanya, pemeriksaan terhadap motosikal yang terlibat membabitkan beberapa anggota daripada agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Terdapat saman yang akan dikeluarkan oleh pihak polis trafik dan kita minta kerjasama JPJ menjalankan pemeriksaan kepada semua motosikal. Pemeriksaan juga membabitkan speksifikasi motosikal sama ada layak atau tidak berada di atas jalan raya.

“Mereka perlu bawa dan tukar ekzos kepada bentuk asal sebelum dibenarkan bawa balik. Motosikal yang tidak mempunyai brek belakang, pemiliknya perlu menjalani pemeriksaan motosikal dengan JPJ sebelum dibenarkan bawa pulang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sarifudin memaklumkan trend mengubah suai motosikal dengan menanggalkan brek belakang semakin membimbangkan di ibu kota.

Beliau berkata, pihaknya mengesan sebanyak 83 motosikal yang tidak mempunyai brek belakang dalam operasi sama, Sabtu lepas.

“Dalam operasi sebelum-sebelum ini, bagi kesalahan mengubah suai motosikal (tiada brek belakang) hanya satu atau dua kes sahaja, Tetapi dalam operasi baru-baru ini, terdapat peningkatan jumlah sehingga 83 kes dan ini sangat membimbangkan.

“Selain tiada brek belakang, sebanyak 633 saman telah dikeluarkan atas kesalahan lain antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cermin sisi dan cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain,” katanya.

Sarifudin berkata trend tiada brek belakang semakin berkembang di Kuala Lumpur dan ia amat berbahaya bukan sahaja kepada penunggang motosikal itu sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

“Kita akan pastikan perkara ini akan ditangani sebaiknya sehingga tiada satu motosikal pun di Kuala Lumpur ini tanpa brek belakang. Polis akan jalankan operasi setiap hari dan minggu supaya trend ini disekat daripada berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Sarifudin memaklumkan sebanyak 188 kes kemalangan maut direkodkan di Kuala Lumpur tahun ini setakat 18 Dis, dengan melibatkan mangsa sebanyak 151 orang.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here