Lebih 550 Jemaah Haji Meninggal Dunia Akibat Cuaca Panas Di Mekah

0
195
Foto: Kosmo

MEKAH – Menurut laporan akhbar The Guardian semalam, sekurang-kurangnya 550 jemaah meninggal dunia semasa menunaikan ibadah haji tahun ini yang berlangsung dalam keadaan suhu panas terik.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 323 merupakan rakyat Mesir yang kebanyakannya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba akibat cuaca panas ekstrem, kata dua diplomat Arab Saudi kepada AFP.

“Semua jemaah (rakyat Mesir) meninggal dunia akibat cuaca panas, kecuali seorang yang mengalami kecederaan parah semasa rempuhan orang ramai,” kata salah seorang diplomat.

Selain itu, sekurang-kurangnya 60 warganegara Jordan turut meninggal dunia, meningkat daripada jumlah rasmi yang dinyatakan oleh Amman sebelum ini iaitu 41 orang.

Kematian terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dilaporkan oleh beberapa negara setakat ini adalah 577, menurut pengiraan AFP.

Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi telah merawat lebih 2,000 jemaah yang mengalami tekanan haba. Namun, mereka belum mengemas kini angka tersebut sejak hari Ahad dan tidak memberikan maklumat mengenai kematian.

Sekurang-kurangnya 240 orang, kebanyakan jemaah haji dari Indonesia, meninggal dunia semasa musim haji tahun lalu. – AGENSI

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here