Lebih 140 Ekor Kucing Dibuang Di Padang Pasir, 50 Daripadanya Sudah Mati

0
61
Foto: Harian Metro

Abu Dhabi: Sekumpulan penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE) menemui lebih 140 kucing dibuang di padang pasir tengah Abu Dhabi, dengan 50 daripadanya sudah mati.

Sebanyak 95 ekor berjaya diselamatkan, namun insiden itu yang mencetus kritikan pejuang hak haiwan antarabangsa dan mendesak kerajaan menyiasat.

Penduduk yang menyelamatkan haiwan itu, Chiku Shergill berkata, kucing pelbagai baka termasuk Parsi dibiarkan mati terperangkap dalam sangkar dan sebahagiannya berkeliaran di padang pasir tanpa makanan, tempat tinggal mahupun air.

“Ramai pasukan penyelamat sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat terpaksa mengambil cuti daripada kerja hakiki mereka untuk terus menyelamatkan kucing yang terbiar, mendapatkan mikro cip dan mencari tempat perlindungan untuk haiwan itu,” katanya.

Seekor anjing baka golden retriever turut diselamatkan, manakala anjing husky ditemui mati.

Sesetengah haiwan didapati dipasang mikro cip yang menunjukkan ia bukan kucing jalanan, termasuk 10 ekor dari Dubai.

Suhu padang pasir di Abu Dhabi boleh mencapai 40.5 Celsius, terutama ketika siang.

Haiwan itu ditinggalkan di tepi lebuh raya berhampiran Pusat Perlindungan Haiwan Abu Dhabi kendalian kerajaan di kawasan perumahan al Falah, namun wakil pusat itu memberitahu CNN yang pihaknya tidak menyedari kejadian dan enggan mengulas.

Sementara itu, Naib Presiden People for the Ethical Treatment of Animals (Peta) Asia, Jason Baker menawarkan ganjaran AS$5,000 (RM23,637) bagi mereka yang mempunyai maklumat pihak yang membuang kucing berkenaan di padang pasir.

“Tindakan zalim ini tidak boleh dibiarkan mahupun disorok. Kita sudah meminta UAE menyelesaikan krisis haiwan gelandangan ini,” katanya. Jabatan Perbandaran dan Pengangkutan (DMT) Abu Dhabi pula memberi jaminan akan menyiasat kejadian dan berharap orang ramai melapor maklumat berkaitan.

Abu Dhabi memulakan program Trap-Neuter-Return (TNR) pada 2008 untuk mengawal kucing liar dan terbuang melalui Pusat Perlindungan Haiwan Abu Dhabi.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here