PETALING JAYA – Berpuluh-puluh pelanggan terpaksa berputih mata apabila tidak dapat mendaftar ke rumah inap di sebuah kondominium di Ipoh, Perak, selepas pihak pengurusan tidak membenarkannya.
Berdasarkan tinjauan Kosmo, menerusi beberapa video yang dimuat naik oleh @handsomecool666 di akaun TikToknya, arahan melarang inap desa oleh pihak pengurusan kondomonium itu berkuat kuasa pada 3 Mei lalu namun masih ramai lagi yang tidak tahu dan menempahnya.
Kelihatan di dalam beberapa video, para pelanggan terpaksa menunggu di luar kondominium terbabit bersama bagasi walaupun sudah larut malam.
“Sudah ‘book’ (tempah) ‘homestay’ (inap desa) tetapi tidak boleh masuk kerana mulai 3 Mei, pihak pengurusan sudah melarang dan mengharamkan inap desa. Kesian semua orang itu.
“Pihak pengurusan sampai terpaksa guna pembesar suara sebab nak beritahu tempat ini telah melarang sebarang inap desa,” tulis pengguna itu di ruangan kapsyen.
Lebih menyedihkan, ada juga pemilik inap desa yang menyerahkan kad akses kepada pelanggan di luar kawasan kondomonium.
“Taktik ini membolehkan mereka (pelanggan) berpura-pura menjadi pemilik dan masuk terus ke dalam kondominium tanpa mendaftar.
“Tapi pelanggan inap desa perlu menyelinap ke dalam apartmen. Kasihan ya,” tulisnya lagi.
Sehingga kini, videonya sudah mendapat 1.6 juta tontonan, 28,800 tanda suka dan 1,276 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, orang ramai yang menetap di kawasan kondominium juga bersetuju dengan tindakan pihak pengurusan tersebut demi menjaga keselamatan dan privasi kejiranan.
“Kondominium yang saya menetap pun sama. Empat tahun lepas banyak inap desa. Tetapi lepas tu pihak pengurusan haramkan fasiliti semua dibayar oleh residen tetapi yang datang rosakkan adalah orang luar,” komen Emi.
“Nak kasihan pada pemilik inap desa konon. Habis dengan residen ni tak nak kasihan? Peratus residen lagi banyak, privasi hilang, kolam memanjang penuh, sama jugak dengan fasiliti. Hujung minggu hancur,” komen Zain.
“Memang tak patut pun buat inap desa di apartmen. Residen bayar yuran penyelenggaraan mahal untuk kemudahan. Tiba-tiba orang lain sewa datang ‘enjoy’ sekali,” komen Milly.
“Jepun dan Turkiye antara negara yang saya tahu nak buat inap desa kena ada persetujuan semua yang dalam kejiranan itu,” komen seorang pengguna yang lain.
Sumber: Kosmo