Laporan Akhbar “Harga Ayam Di Melaka Naik 70 Sen”, Tidak Benar – KPDN Melaka

0
203
Foto: Berita Harian

MELAKA, 20 Oktober- Dakwaan harga ayam naik sehingga 70 sen adalah tidak benar, malah bekalan serta pergerakan komoditi itu di pasaran negeri Melaka adalah terkawal serta masih mengikut harga kawalan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka menerusi Pengarahnya, Norena Jaafar menerusi satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan kenaikan harga ayam di negeri itu.

“Hasil pemantauan berterusan Pegawai Pemantau Harga (PPH) dan juga pemeriksaan harian oleh Penguatkuasa KPDN Melaka di seluruh negeri Melaka mendapati rata-rata peniaga masih mengekalkan jualan harga ayam dibawah harga kawalan iaitu RM 9.40 malah ada juga premis menjual ayam serendah RM7.99 sekilogram.

“Di samping itu, terdapat juga segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan ayam antara 30 sen hingga RM1.00 bagi sekilogram namun ia adalah pilihan kepada pengguna atas perkhidmatan yang ditawarkan,”katanya.

Semalam, tular mengenai satu laporan akhbar menyatakan “Harga Ayam di Melaka Naik 70 Sen”.

Jelas Norena, sehingga 19 Oktober 2023 sebanyak 24,543 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang/peladang.

“Selain itu, KPDN Negeri Melaka telah merekodkan sebanyak 1008 aduan rasmi, yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

“Sebanyak 296 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,619,571.85 yang terdiri dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan Kementerian ini. Sebanyak RM54,200.00 kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan,”katanya.

Begitupun, menurut Norean setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima oleh pihak KPDN Melaka.

Katanya, semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan info yang sahih sebelum menyebarkan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“KPDN Melaka sentiasa mengingatkan kepada semua para peniaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini.

“Dari aspek penguatkuasaan, KPDN sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.

“Pengguna juga diminta melaporkan kepada KPDN atas sebarang salah laku dan aduan berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang selain menyalurkan aduan melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-279 4317,”menurutnya dalam kenyataan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here