Tuesday, February 18, 2025
HomeBERITALangkah Proaktif Tangani Ancaman Dunia Digital

Langkah Proaktif Tangani Ancaman Dunia Digital

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani telah menjadikan keselamatan siber sebagai salah satu fokus utama dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Sebagai tindakan yang proaktif, kerajaan menyeru penyedia platform dalam talian untuk lebih bertanggungjawab dalam memantau serta menghalang sebarang aktiviti yang merbahaya atau bertentangan dengan norma moral.

Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan terjamin, sekaligus menghasilkan sebuah masyarakat yang lebih kompetitif tanpa terdedah kepada ancaman siber yang semakin rumit.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud, menyokong penuh langkah-langkah yang diperkenalkan untuk memastikan kesejahteraan negara.

Beliau menjelaskan bahawa sekiranya berlaku sebarang pelanggaran, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penyedia platform yang gagal mengawal aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Kerajaan berhak mengambil tindakan ke atas mereka, termasuklah tindakan undang-undang atau kawal selia, bagi memastikan mereka bertanggungjawab serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Mohd Hafiez turut menambah bahawa kerajaan mempunyai kewibawaan untuk mengenakan denda, menggantung operasi, atau mengambil langkah-langkah lain yang dianggap perlu untuk melindungi keselamatan rakyat.

“Sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh mengenakan tindakan ke atas penyedia platform jika mereka gagal mengekang jenayah siber, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan lucah, serta aktiviti-aktiviti berbahaya yang boleh membahayakan rakyat.

“Golongan warga emas dan kanak-kanak adalah antara yang mudah dimanipulasi. Malah, golongan profesional juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa. Oleh itu, langkah ini adalah sangat penting untuk mengelakkan lebih ramai individu daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh betapa pentingnya usaha itu dengan laporan media berkaitan operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama MCMC hujung Disember lalu.

“Dalam operasi yang dinamakan ‘OP PEDO’ itu seramai 13 lelaki tempatan termasuk seorang warga emas berusia 74 tahun ditahan bagi kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

“Berdasarkan laporan media juga hampir 40,000 bahan CSAM dan pornografi dewasa turut dirampas. Ini menunjukkan jika masalah ini tidak dibendung ia akan membawa lebih kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengorak langkah ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Menurut MCMC, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.

“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform berkenaan di negara ini, yang juga dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi,” menurut MCMC dalam kenyataan.

Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

Manakala Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi. – MEDIA LAH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Rumah Separa Kekal Terbakar Di Felda Sungai Retang

0
JERANTUT – Sebuah rumah separuh kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Felda Sungai Retang di sini malam semalam. Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia...

CATEGORIES