SEREMBAN – Meskipun usianya sudah 105 tahun, namun Bariah Mohd Din masih mengingati lirik lagu Jepun yang dinyanyikannya di bangku sekolah ketika zaman penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Menurut anaknya, Rosidah Md Din, 55, lagu berkenaan begitu melekat dalam ingatan ibunya berbanding pengalaman lain yang dilaluinya ketika itu.
“Kalau tanya macam mana hidup pada zaman penjajahan Jepun, banyak yang dia dah tak ingat, melainkan lagu Jepun itu.
“Katanya, lagu itu dinyanyikan rakyat kita seperti lagu Negaraku dan mungkin itu sebabnya emak hafal dan ingat sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seliau, Rantau di sini pada Khamis.
Bercerita mengenai keadaan kesihatan ibunya, Rosidah yang merupakan suri rumah berkata, dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik tetapi sudah mula lupa dalam banyak perkara.
“Emak tak nyanyuk, tapi dah banyak lupa dan tahap pendengarannya juga dah merosot.
“Peningkatan usia juga menyebabkan emak tidak lagi kuat seperti dahulu dan perlu bergerak menggunakan kerusi roda atau dibantu anak-anak, “katanya.
Begitupun, Rosidah bersyukur kerana masih berpeluang menjaga dan menatap wajah wanita yang melahirkannya yang kini usianya sudah lebih seabad.
Malah dia turut menyifatkan ia sebagai satu rezeki kerana dapat terus berbakti kepada ibunya itu.
“Orang kata rezeki itu ada duit, tapi rezeki saya apabila dapat berada di sisi emak yang usianya sudah 105 tahun.
“Lagi pun sejak kecil sehinggalah saya sudah berkahwin pun, saya tak pernah berjauhan dengannya,” ujarnya.
Bagaimanapun ibu kepada empat anak dan enam cucu itu mengakui bukan mudah menjaga emak yang sudah tua.
Ujarnya, ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan dia bersyukur kerana suaminya amat membantu.
“Nak jaga orang tua ini kena banyak sabar, kerenahnya macam-macam. Kalau tersalah cakap, mudah berkecil hati.
“Tapi Alhamdulillah, mata emak masih nampak selepas menjalani pembedahan katarak beberapa tahun lalu,” katanya.
Ditanya berkenaan petua yang diamalkan oleh ibunya yang masih sihat, Rosidah berkata, ibunya tiada amalan khusus dilakukan tetapi ketika di usia mudanya dia tidak makan makanan laut dan ayam.
Ini kerana katanya, kulit ibunya mudah gatal apabila makan makanan berkenaan.
“Lagi satu dia selalu pesan dengan kami anak-anak, jangan minum air berkarbonat kerana air itu tak bagus untuk kesihatan.
“Seingat saya, emak tak boleh urus diri sendiri pun ketika usia dia dah 95 tahun. Tapi dia tak pernah ada sakit yang serius,” katanya.
Selain itu katanya, ibunya berkahwin ketika usianya belasan tahun dan telah dikurniakan 10 anak dengan 35 cucu, 66 cicit.
Tambahnya, ayahnya pula telah meninggal dunia pada tahun 1980-an akibat kemalangan jalan raya.
Sumber : Sinar Harian