Lagipun Saya Bukan Bercinta Dengan Suami Orang – Riena Diana

0
60
Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR: Pelakon Riena Diana mengakui tidak menghadapi masalah untuk menjalin hubungan istimewa dengan Keith Foo, meskipun aktor itu berstatus duda anak satu.

Bagi Riena, atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, perkara paling penting ialah lelaki yang ingin didekatinya bukan suami orang.

“Duda bukan masalah. Duda, bujang, atau ada anak sekalipun, itu tidak menjejaskan apa-apa. Jujurnya, kalau saya tidak berkawan dengan Keith, saya akan berkawan dengan orang lain. Asalkan bukan suami orang,” katanya.

“Jadi, selagi bukan suami orang dan kedua-dua keluarga boleh terima, saya okay. Saya suka budak-budak, jadi tiada masalah bagi saya jika bakal suami ada anak atau tidak,” katanya ketika ditemui pada pelancaran dan sidang media I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 (ICSYVM 7) di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkenalannya dengan Keith, Riena, yang meraih populariti menerusi drama rantaian Kampung People, memberitahu bahawa mereka menjadi rapat selepas terlibat dalam penggambaran drama Salju Rindu yang akan disiarkan menerusi slot Akasia TV3 pada Ogos depan.

“Dalam sebulan dua ini kami baru rapat, jadi hubungan ini masih sangat baharu. Oleh itu, kami tidak mahu terlalu menghebahkan atau memberikan kenyataan, cuma buat masa ini kami selesa berkawan.

“Hendak cakap lebih-lebih pun risau, sebab tak tahu bagaimana masa depan. Kami sedang mengenal hati budi masing-masing. Jadi, doakan yang terbaik. Kalau ada jodoh, insya-Allah,” katanya.

Riena turut menjelaskan bahawa dia dan Keith menyedari adanya keserasian antara mereka ketika menjalani penggambaran drama Salju Rindu.

“Boleh dikatakan kami serasi dan sejak awal penggambaran kami sudah berteman baik. Kami hanya menjadi rapat dan mesra di set. Mungkin selepas beberapa minggu, kami menyedari bahawa kami mempunyai banyak persamaan.

“Kami sudah mengenali satu sama lain dengan mendalam, dan kami tahu bahawa terdapat banyak kesamaan di antara kami, dari segi kegemaran dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, Riena telah mendedahkan bahawa hubungan cintanya dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Nik Afiq telah berakhir pada penghujung tahun lalu, walaupun terdapat perancangan untuk berkahwin.

Keith pada masa ini berstatus duda anak satu, setelah rumah tangganya dengan Kim Raymond yang dibina pada tahun 2015 berakhir dengan perceraian pada tahun 2019. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Skylar, yang kini berusia tujuh tahun.

Dalam perkembangan lain, Riena akan menyertai Naim Daniel, Bell Ngasri, serta Siti Khadijah Halim dalam peranan sebagai penyiasat untuk mengenal pasti penyanyi sebenar dan penyamar dalam I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 (ICSYVM 7). Program ini akan bersiaran selama 11 episod bermula 23 Jun ini di TV3.

Program yang mengadaptasi konsep dan format asal dari Korea Selatan ini akan mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacara.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here