PETALING JAYA – “Hampir 15 minit baru saya sedar tertinggal anak di dalam kereta, tetapi mujur semuanya selamat”.
Begitulah kata @farishal83 setelah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 41 saat yang dikongsinya tular di laman TikTok.
Video tular tersebut memaparkan Faris berlari keluar dari rumah bersama ahli keluarganya yang lain untuk menyelamatkan anaknya yang tertinggal di dalam kereta.
“Sejarah hidup yang saya tidak akan pernah lupakan. Biarlah kali ini jadi pengajaran. Anak tertidur di dalam kereta sebelah belakang, lupa keluarkan,” kata Faris.
Menurut Faris, tragedi tersebut telah menjadi satu pengajaran besar buat keluarganya yang pada waktu itu sedang sibuk menguruskan persiapan Ramadan dan hal-hal persekolahan.
“Saya sedar pun sewaktu sedang bersalaman dengan ayah. Ayah saya hendak balik ke kampung. Tiba-tiba saya rasa sunyi.
“Sewaktu hendak bersalaman, baru saya perasan anak tidak ada. Pada waktu itu, barulah ibunya teringat anak masih dalam kereta.
“Hampir 15 hingga 20 minit juga tertinggal. Cuaca pula panas. Mujur buka tingkap,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai mengucapkan syukur kerana kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan.
Tidak kurang juga, ada yang berkongsi pengalaman sama di ruangan komen.
“Ya Allah, nasib baik selamat. Semalam, ada pemandu van terlupa masih ada budak dalam van dia. Budak tu tertidur, van pula dah parkir. Mujur ada yang nampak,” kata Norhalizah.
“Pernah terjadi dekat jiran sebelah. Tetapi, anak dia yang main kunci kereta. Tahu-tahu terperangkap. Sejam jugalah nak tunggu bomba sampai,” kata Endy.
“Pernah terkena sekali. Semua dah keluar pergi kedai. Masa itu, rasa aman sangat membeli. Rupanya si bongsu tertinggal di dalam kereta sebab dia tertidur. Masa jumpa tu, merah muka menangis. Rasa bersalah sangat,” kata Ain.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 1,779 tanda suka dan 118,900 tontonan. – KOSMO! ONLINE
Sumber: Kosmo