Lagi Berbaki Empat Episod, Tiada Lagi Kemunculan Ustaz Don Kendali Salam Baitullah

0
47
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau Ustaz Don tidak lagi akan mengendalikan program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Beliau ketika dihubungi Kosmo! berkata, program berkenaan yang berbaki lagi empat episod itu tidak akan menampilkan pendakwah terbabit susulan kenyataan Ustaz Don di dalam program tersebut yang mendapat pertikaian dari orang ramai.

“Program tersebut mempunyai empat episod sahaja lagi yang tinggal, tidak ada lagilah (penampilan Ustaz Don) sebelum Raya Haji.

“Kita sudah menasihatkan beliau, bawa berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan bermacam pihak berautoriti hendak membantu supaya diberi peluang dan ada keinsafan,” katanya di sini hari ini.

Ditanya sama ada Ustaz Don sudah dimaklumkan mengenai tindakan itu, Suhaimi berkata beliau sendiri sudah menghubungi Ustaz Don dan memaklumkan perkara tersebut.

“Saya harap dia fahamlah kenapa, apabila saya buat keputusan saya (sendiri) akan beritahu individu itu,” katanya.

Terdahulu, perkongsian Ustaz Don di dalam program Salam Baitullah mendapat pertikaian apabila berkongsi hadis yang mengatakan memandang pada wajah guru, lebih baik dari menyedekahkan 1000 ekor kuda di jalan Allah.

Sebelum ini, Ustaz Don telah direhatkan susulan daripada program Salam Baitullah yang sinonim dengan musim ibadah haji, ekoran beberapa kontroversi yang terpalit dengan dirinya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here