KSM, Perkeso Bantu Pekerja MYAirline Terjejas

0
92
Foto: UtusanTV

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membantu lebih 500 pekerja syarikat penerbangan tambang murah MYAirline yang terjejas susulan penggantungan operasinya sejak Khamis lalu.

Menterinya, V.Sivakumar berkata pekerja-pekerja berkenaan dijangka menerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika perkhidmatan mereka ditamatkan.

Beliau berkata, manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu akan diberikan kepada pekerja berkenaan selepas semakan terhadap rekod caruman SIP mereka memenuhi syarat kelayakan.

“Pekerja berkenaan akan menerima gantian pendapatan untuk tempoh tiga hingga enam bulan sementara mendapat kerja baharu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Khamis lepas MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) menerusi satu kenyataan memaklumkan mengenai penggantungan operasinya mulai 6 pagi dan  keputusan berkenaan diambil berikutan tekanan kewangan.

Jelas Sivakumar, kementeriannya dan Perkeso komited serta sentiasa bersedia membantu meringankan bebanan pekerja syarikat penerbangan tambang murah berkenaan dari segi kewangan sekiranya mereka diberhentikan kerja.

Menurutnya kementerian itu melalui agensinya Perkeso sentiasa memantau perkembangan terkini bagi memastikan segala perkara yang melibatkan kebajikan pekerja akan diambil tindakan segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here