Kritik PM Tidak Mengapa, Tapi Jangan ‘Serang’ Raja-Raja Melayu

0
53
Foto: Berita Harian

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak-pihak tertentu yang membuat fitnah terhadapnya kononnya meluluskan projek penubuhan kasino di Forest City, Johor Bahru.

Perdana Menteri menegaskan, perkara itu langsung tidak pernah didengar dan diusulkan seisapa termasuk dimaklumkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk menubuhkan pusat perjudian di sana.

“Jadi ini dari mana (tohmahan)? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini sebenarnya perlu ganti ‘bilik-bilik’ (penjara) saya di Sungai Buloh.

“Kritik tidak mengapa, kamu kritik Perdana Menteri tidak mengapa sebab saya boleh jawab, ini kamu kritik raja-raja yang kita sanjung dan muliakan dan ada dalam Perlembagaan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2024 di sini hari ini.

Anwar berkata, institusi raja di negara ini tidak boleh dijadikan seperti orang politik yang boleh ‘diserang’ sesuka hati.

Ini kerana, katanya, ada budaya Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan, ada siri, cara dan kaedah yang perlu dihormati.

“Jadi kalau saudara serang apatah lagi fitnah, jawapannya pendakwaan, hukuman dan penjara.

“Jadi jangan marah saya kononnya saya tidak demokratik, keras dan kuku besi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menafikan bahawa kerajaan mengeluarkan sebarang lesen untuk menubuhkan kasino di Forest City susulan laporan media antarabangsa, Bloomberg yang mendedahkan bahawa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) adalah tidak benar.

Malah, Berjaya dan Genting Malaysia turut menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil ter­hadap syarikat media itu atas dakwaannya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City dalam laman sosial Facebook miliknya, Jumaat lalu.

Tuduhan tersebut merupakan yang ketiga dihadapinya selepas didakwa atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kelmarin

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chegu Bard didakwa membuat penerbitan menghasut dalam akaun Facebook bernama Chegu Bard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu.

Beliau didakwa di bawah Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris atas kenyataan yang didakwa mengaibkan Yang di-Pertuan Agong. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here