KPT Tak Sekat Kebebasan Akademik Tapi Kenapa Jemput Pensyarah Kontroversi

0
42
Foto: Harian Metro

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan pihaknya tidak pernah menyekat kebebasan akademik setiap universiti di dalam negara.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang menjadi persoalan adalah kenyataan dikeluarkan oleh profesor pro-Israel jemputan Universiti Malaya (UM), Dr Bruce Gilley menyentuh mengenai keselamatan dan imej negara.

“Saya harap mereka berkenaan yang membuat komen itu perlu membezakan antara konteks kebebasan akademik dengan kebebasan yang menyentuh mengenai kedudukan dan imej negara dengan membuat kenyataan yang terlalu biadab serta sangat merbahaya.

“Itu kita kena bezakan,” katanya ketika ditemui Majlis Sambutan Aidilfitri KPT di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dikeluarkan seorang professor tempatan, Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi bahawa adalah menjadi ‘amalan biasa’ dalam akademia menjemput tokoh kontroversial untuk wacana.

Tajuddin juga dilapor berkata, UM tidak seharusnya membuat permohonan maaf kerana menjemput Gilley dan mendakwa sepatutnya tiada sekatan dilaksanakan terhadap amalan biasa itu kerana boleh menjejaskan kebebasan akademik.

Dalam pada itu, Zambry mengingatkan universiti agar menyemak dengan teliti latar belakang setiap professor jemputan bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Kalau jemput, semak latar belakang, apa kepakaran beliau dan adakah dia benar-benar seorang sarjana yang dihormati,” jelasnya.

Menurutnya, universiti juga menyarankan agar professor tempatan diberi keutamaan untuk memberi syarahan di universiti.

“Saya bukan mahu campur tangan.

“Kita mempunyai terlalu ramai professor di Malaysia yang lebih baik daripada Gilley,” katanya.

Sementara itu, ditanya adakah KPT telah menerima laporan berkaitan perkara itu, Zambry berkata, ia masih belum diperoleh.

“Saya masih menanti dan memaklumkan mahu laporan segera.

“Saya sebutkan bahawa tidak mahu lagi peristiwa seperti ini berulang,” katanya.

Institut Pengajian Cina UM pada 9 April lalu dilapor mengeluarkan jemputan terbuka untuk seminar yang bertajuk ‘Reassessing Republican China’ dengan menampilkan Gilley pada 25 April.

Pada 16 April lalu, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik mengumumkan Program Profesor Pelawat 2024 yang mana Gilley dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 sehingga 24 April.

Ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power?” Gilley mengeluarkan kenyataan berbunyi “A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States” ketika memberi syarahan.

Ia sekali gus mengundang kecaman dan kritikan terhadap UM apabila kenyataan tersebut dikongsi semula menerusi ciapan di laman X milik Gilley.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here