KPM Siasat Kertas SPM Sejarah Bocor?

0
93
Foto: Uni Assist

Nilai: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku kebocoran kertas mata pelajaran Sejarah bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya jika dakwaan itu benar berlaku.

“Namun KPM mempunyai integriti cukup tinggi dalam mengawal dengan ketat peperiksaan awam mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Apa sahaja dakwaan, pihak kementerian akan siasat dan pada yang masa sama saya minta anak-anak tidak diganggu dengan berita-berita ini. Bagi mereka ruang untuk fokus dengan kertas peperiksaan yang sedang mereka hadapi.

“Kami akan siasat secara terperinci dan mengambil penuh tanggungjawab ini,” katanya selepas majlis Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan 2024, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, di sini, tadi.

Sementara itu beliau meminta pihak sekolah dan ibu bapa memberi perhatian serius terhadap penggunaan atau pengambilan produk penyedut hidung atau turut dikenali sebagai ‘Energy’ Stick’ dalam kalangan pelajar yang kononnya dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada penggunanya.

Fadhlina berkata, pihaknya melarang penggunaan produk berkenaan kerana ia boleh memberi kemudaratan kepada kesihatan pelajar.

Katanya, KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha mengekang penggunaan produk terbabit di kalangan pelajar.

Sebelum ini, Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebook menyiarkan maklumat kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan produk dikenali sebagai ‘Energy Stick’.

PHM memaklumkan, produk jolok hidung dan sedut itu adalah terkini di pasaran dan mula popular di kalangan pelajar sekolah yang dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.

Produk penyedut hidung ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna. Ada penjual menggunakan ‘tagline’ ‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ dan ‘Sedut dulu baru mulakan kerja’.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here