ALOR SETAR, 6 November- Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan masalah kekurangan guru dapat diatasi.
Ke arah itu, kementerian tersebut merancang untuk melantik guru kontrak bagi mengisi kekosongan jawatan guru atau pegawai pendidikan ketika ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata perkara itu sememangnya menjadi antara perhatian KPM selain menawarkan perjawatan tetap bagi Gred DG41 kepada 9,552 guru yang dilantik baru-baru ini.
“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan lantik secara kontrak, ini memang dalam radar kita.
“Kita sedang melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru dan kita juga sedang menambah baik kaedah untuk mendapatkan guru opsyen-opsyen tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bicara Eksekutif Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Konvensyen Program Tranformasi Daerah di Alor Setar.
Jelas Pkharuddi, KPM turut akan terus menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam ‘membekalkan’ guru-guru terlatih pada masa akan datang.
“Saya berharap guru-guru yang dibekalkan nanti dapat dipimpin oleh Pengetua dan Guru Besar dengan sebaiknya supaya mereka dapat memberi perkhidmatan jauh lebih baik serta berkualiti,” katanya.