KPKT Tukar Nama Rasmi, Kini Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

0
123

PUTRAJAYA, 27 Disember- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kini dikenali dengan nama rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT menerusi satu kenyataan memaklumkan nama kementerian itu dipinda berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lepas.

Nama baharu itu akan diwartakan secara rasmi bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Menurut kenyataan itu penyediaan rumah mampu milik merupakan teras utama kementerian itu, dengan sasaran pembinaan 500,000 unit rumah di seluruh negara khususnya untuk golongan B40 dan M40 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

Hala tuju strategik melalui pelaksanaan visi dan misi KPKT pula akan terus diperkasa menerusi lapan fungsi utama iaitu Perumahan Mampu Milik, Perancangan Bandar, Pembangunan Landskap, Pemerkasaan Kerajaan Tempatan, serta Kebombaan dan Penyelamatan.

Selain itu, Pengurusan Sisa Pepejal, Pendayaupayaan Komuniti, serta Kredit Komuniti dan Pajak Gadai.

“KPKT komited bersama Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda dan fokus utama iaitu bagi menerajui kemakmuran komuniti bandar serta persekitaran mampan.

“Aspek daya huni rakyat akan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here