PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kompaun sebanyak RM7,100 melibatkan 65 kes peniaga gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas pihaknya menjalankan 3,887 pemeriksaan ke atas premis di seluruh negara sepanjang tempoh penguatkuasaan SHMMP bermula 28 Oktober hingga 3 November lalu.
Katanya, ia merangkumi 61 pemeriksaan ke atas premis pengeluar dan borong serta 3,826 pemeriksaan ke atas premis runcit.
“Hasil daripada pemeriksaan itu, sejumlah 66 kes telah dihasilkan melibatkan sitaan bernilai RM3,870 serta jumlah kompaun sebanyak RM7,100 kerana kegagalan peniaga menggunakan tanda harga khas merah jambu (65 kes),” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Pada masa sama, katanya, satu kes turut direkodkan kerana menjual melebihi harga maksimum sepanjang tempoh SHMMP.
“KPDN juga tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024.
“Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya.
SHMMP Deepavali 2024 bermula pada 28 Oktober dan berakhir pada 3 November lalu telah dilaksanakan dengan jayanya.
Pelaksanaan Skim ini merupakan langkah kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama kepada masyarakat yang menyambutnya.
Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama tujuh hari, berkuat kuasa pada tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
Sebanyak lapan jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024.
Sumber – Kosmo! Online