Kos Terlampau Tinggi Jadi Cabaran Utama Lahirkan Atlet Berbakat

0
161
Foto: News Straits Times

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui kos yang agak tinggi membabitkan sukan tertentu sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai atlet muda berbakat.

Jelas Hannah, cabaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah untuk memastikan bagaimana sukan tertentu yang mampu menyumbang pingat di temasya sukan seperti Sukan Sea dan Sukan Asia, boleh diceburi oleh semua golongan.

“Cabaran yang paling penting untuk kami adalah bagaimana mahu memastikan sukan yang membawa balik pingat seperti golf di Sukan Sea, pelayaran dan ekuestrian di Sukan Asia, kos untuk mengambil bahagian dapat diturunkan.

“Ia supaya lebih ramai lagi atlet berbakat boleh terbabit sama, ini adalah cabaran utama kami iaitu untuk menjadikannya mampu milik.

“Bagi pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS, memang sukan-sukan ini sudah ada dalam rangka kerja MSN untuk membangunkan atlet berbakat. Cuma sekarang hanya untuk memperluaskan kumpulan bakat itu saja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan saingan Jelajah Tempatan U.S Kids Golf Malaysia yang membabitkan penyertaan kira-kira 180 pemain golf muda dengan dua kejohanan pertama akan berlangsung dari 31 Oktober sehingga 1 November ini di Kelab Golf Negara Subang.

Empat pusingan selepas itu akan berlangsung di Penang Golf Resort, Kepala Batas (19 sehingga 20 November) dan A’Famosa Resort Melaka dari 2 sehingga 3 Disember.

Hannah menambah, program pembangunan di peringkat akar umbi memerlukan sokongan semua pihak terutamanya membabitkan suntikan dana.

“Kerajaan sendiri tak cukup (dana) untuk bantu semua (sukan). Sebab itulah kami sangat menghargai pembabitan pihak korporat,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan beberapa sukan berdepan masalah ketandusan pelapis bagi menggantikan atlet senior dan antara paling ketara adalah sukan ekuestrian yang menyaksikan Malaysia masih mengharapkan kepada pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Qabil Ambak Mahamad Fathil untuk mewakili negara.

Turut terjejas adalah sukan terjun apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong meluahkan kebimbangan selepas program pelapis yang diwujudkan satu ketika dulu dihentikan pada 2018, selain masalah kekurangan jurulatih.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here