BANDAR GAZA – Sambil dikelilingi cucu-cucunya, Mahmud al-Sarsawi, 68, yang mempunyai masalah pernafasan berbaring di atas meja bersama tiub oksigen di sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan bom di Semenanjung Gaza.
“Kami semua datang ke sini untuk berlindung daripada serangan udara Israel.
“Situasi terkini amat menakutkan. Kami tiada pilihan melainkan mencari perlindungan,” kata Mahmud sambil menambah, dia bimbang kehabisan bekalan oksigen.
Menurut Kosmo, warga emas itu berasal dari kejiranan Shujaiyya. Dia bersama-sama 70 warga Palestin lain berlindung di dalam bangunan berkenaan pada hari kedua tentera Zionis melancarkan serangan udara kelmarin.
Ia merupakan satu daripada 44 sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang kini dibuka sebagai tempat perlindungan.
Di dalam sebuah bilik darjah, anggota wanita keluarga Sarsawi duduk di atas tilam yang dibawa dari rumah mereka berserta gas memasak, makanan dalam tin dan beberapa beg pakaian.
Menurut Amal Al-Sarsawi, 37, mereka sekeluarga masih terkejut selepas mendengar bunyi peluru berpandu Israel mengenai sasaran di Gaza.
“Kami mengumpul semua barangan yang diperlukan dari rumah dan bergegas ke sini,” kata ibu kepada lima anak itu sambil menambah, dia tidak tidur sepanjang malam kerana cuba menenangkan anak-anak yang ketakutan.
Sementara itu, seorang kakitangan UNRWA yang enggan identitinya didedahkan berkata, Sekolah Lelaki New Gaza yang menjadi tempat keluarga Sarsawi berlindung tu boleh menempatkan 300 orang, dengan tiga keluarga dalam setiap bilik darjah.
Kebanyakan mereka datang dari timur Bandar Gaza dan utara Semenanjung Gaza.
Di salah satu lorong sekolah tersebut, seorang wanita yang melarikan diri bersama 14 ahli keluarganya duduk sambil meletakkan tangan di atas kepala.
Sukar menahan air matanya, wanita itu berkata, dia sedih kerana tidak mampu memberikan susu kepada dua bayinya.
“Kami masih belum makan apa-apa sejak pagi semalam (kelmarin). Kami sukar melarikan diri dengan hanya membawa beberapa helai pakaian,” katanya.
Berdasarkan Kosmo, lebih 20,000 penduduk di Gaza hilang tempat tinggal dalam pertempuran terbaharu itu, kata UNWRA, selepas pejuang Hamas melancarkan lebih 5,000 roket ke selatan Israel menjelang waktu subuh, Sabtu lalu.
Tentera Zionis kemudian melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang didiami 2.3 juta warga Palestin dalam keadaan bersesak.
Dalam masa hanya dua hari, lebih 700 penduduk Yahudi terbunuh di Israel, manakala sekurang-kurangnya 400 rakyat Palestin terkorban di Gaza, demikian menurut angka pegawai kedua-dua belah pihak.
Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kelmarin berkata, pihaknya sangat bimbang mengenai impak perang terhadap orang awam yang bergelut untuk mendapatkan bekalan makanan.
“Walaupun kebanyakan kedai di kawasan terjejas di Palestin pada masa ini mengekalkan stok makanan untuk sebulan, ia berisiko habis dengan cepat apabila orang ramai membuat pembelian panik kerana bimbang perang akan berpanjangan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Beratus-ratus orang beratur di hadapan kedai roti kelmarin untuk mendapatkan roti ketika bunyi letupan kedengaran di sekeliling mereka.
“Saya menerima kunjungan lebih 20 orang, saudara-mara dan rakan-rakan yang datang dari kawasan sempadan,” kata seorang lelaki sambil mengangkat lima keping roti.
Sumber: Kosmo
Oh my goodness! Incredible article dude! Thank you, However I am experiencing problems with your
RSS. I don’t understand the reason why I can’t join it.
Is there anyone else having identical RSS problems?
Anyone who knows the answer can you kindly respond? Thanx!!