Kompleks Mahkamah Petaling Jaya Dikawal Ketat Bagi Kes Ibu Bapa Kandung Zayn Rayyan

0
70
Foto: Berita Harian

PETALING JAYA: Kompleks Mahkamah di sini menjadi pusat perhatian hari ini, dengan kehadiran ramai orang termasuk pengamal media yang ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai kes reman ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiiin yang telah dibunuh.

Bagaimanapun, pengamal media hanya dibenarkan berada di luar mahkamah kerana tidak dibenarkan masuk, kecuali mereka yang mempunyai urusan khusus.

Pada jam 9.20 pagi, pengamal media akhirnya dibenarkan berkumpul di lobi mahkamah.

Kompleks itu dikawal ketat oleh pihak berkuasa sejak ketibaan orang ramai dan pengamal media pada jam 7.30 pagi.

Semalam, media melaporkan bahawa kehadiran pasangan suami isteri tersebut di kediaman dan lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu merupakan sebahagian daripada proses melengkapkan siasatan kes.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa ia adalah antara prosedur yang perlu dilaksanakan sebelum kertas siasatan dapat dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau menyatakan bahawa perkembangan lanjut mengenai sama ada siasatan kes itu telah selesai atau belum, serta status reman ibu bapa kanak-kanak berkenaan, akan dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dua hari lalu, ibu kepada Zayn Rayyan telah dibawa semula ke kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, serta ke lokasi penemuan mayat yang berhampiran dengan rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak tersebut sehingga mayatnya ditemui.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman setelah dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak tersebut dipercayai dibunuh kerana hasil bedah siasat menunjukkan kesan kecederaan pada leher dan badannya, yang diduga akibat usaha mempertahankan diri.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here