Kolaborasi Inovatif Dalam Pemantapan Jalinan Pendidikan Serta Kemahiran Antara Global Turbine Asia Sdn Bhd, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera Dan Universiti Kuala Lumpur

1
93

KUALA LUMPUR, Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA), Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) bagi tempoh selama dua (2) tahun bermula Jun 2024 sehingga Mei 2026 semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Kolaborasi inovatif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jejak Bakat Anak Tentera (JEBAT) YLTAT bersama GTA dan UniKL untuk mendukung usaha kerajaan khususnya Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin bagi memantapkan kelestarian Pendidikan dan Latihan Kemahiran dalam pelbagai bidang seperti sains, sastera, perniagaan, kejuruteraan dan lain-lain secara holistik disamping meningkatkan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyediakan latihan industri serta laluan bagi penempatan pekerjaan yang kompetitif.

Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of lntent) ini ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif GTA, Yang Berbahagia Dato’ Nonee Ashirin binti Dato’ Mohd Radzi; Ketua Eksekutif YLTAT, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Yang Berbahagia Profesor Madya Ir. Dr. Azman bin Senin yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia.

Menerusi Surat Hasrat (Letter of Intent) ini, GTA, YLTAT dan UniKL bersetuju
untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop termasuk:

i.     Peluang menjalani latihan industri dan penempatan di bawah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran ATM;

ii.     GTA akan menaja elaun bulanan seramai 60 ke 80 orang anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih sepanjang tempoh mereka berada di bawah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di bawah Syarikat Kumpulan Global. GTA juga akan menaja sebahagian elaun bulanan anak-anak warga dan veteran ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran di UniKL melalui usahasama trilateral ini;

iii.    GTA dan UniKL juga akan merangka dan menyelaras Program Industrial Placement and Training bagi anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih;

iv.    UniKL akan menawarkan Program Asasi melalui UniKL Top Achievers Foundation Scholarship (UTAFS) di mana pengecualian yuran akan diberikan kepada anak-anak warga dan veteran ATM yang layak sebagai program perintis bagi tahun 2024 dan kemasukan adalah pada bulan Julai dan September;

v.    UniKL juga akan menawarkan peluang pendidikan peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sijil Profesional dan sebagainya kepada anak-anak warga dan veteran ATM serta membantu permohonan pinjaman pendidikan atau biasiswa; dan

vi.   YLTAT akan menyediakan calon yang merupakan anak-anak warga dan veteran ATM termasuk pelajar aliran tahfiz secara eksklusif untuk menyambung pengajian di UniKL dan penempatan latihan industri serta penempatan di bawah Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA.

Kerjasama strategik ini adalah antara usaha menyambut saranan dan usaha kerajaan khususnya Menteri Pertahanan Malaysia dalam melonjak ekosistem pendidikan dan kebajikan serta latihan kemahiran anak-anak warga dan veteran ATM terus terbela. GTA, YLTAT dan UniKL juga komited untuk memastikan penegasan berterusan terhadap kepentingan pendidikan,akses yang saksama terhadap pendidikan berkualiti tinggi bagi pelbagai lapisan masyarakat serta penyediaan kurikulum yang relevan.

GTA, YLTAT dan UniKL turut mengalu-alukan sokongan dan penyertaan daripada semua pihak termasuk pihak kementerian, agensi-agensi, pemain industri serta institusi berkaitan dalam usaha melaksanakan usaha murni ini.

-TAMAT-

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here