Kilang Sorok Beras Putih Tempatan Di Kedah Kena Sita, Berdepan Denda RM25,000

1
152
Foto: Portal Berita RTM

ALOR SETAR, 10 Oktober- Disyaki sorok 180 tan metrik beras putih tempatan, sebuah kilang beras di Kedah dikenakan tindakan sita, semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata kesemua beras yang disorok itu dianggarkan bernilai RM405,000.

Beliau berkata, serbuan dibuat menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang diketuai beliau bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis).

“Pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati, beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

“Buat masa ini lokasi dan nama syarikat kilang itu tidak boleh didedahkan, supaya tidak mengganggu kes yang masih dalam siasatan dan ini merupakan sitaan pertama di bawah OP BPT.

“Cuma saya dimaklumkan, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melakukan operasi seperti biasa setiap masa. Pada hari Sabtu yang lalu KPB juga ada melakukan operasi dan menyita beras di sebuah kilang di sini,” katanya.

Menurut Foong Hin, kes disiasat bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626.

“Jika didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen,” katanya.

Foong Hin turut memberi amaran kepada pihak yang berkenaan, supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menegaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta anggota-anggota  pasukan petugas, akan bertindak tegas terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

“Setakat ini, pasukan petugas OP BPT telah melakukan pemeriksaan ke atas lapan pemborong dan enam pengilang beras di Kedah, bagi mengesan sebarang kegiatan menyorok beras, menukar kampit dan mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import,”katanya.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here