Kilang Pau Terkemuka Diserbu, Sijil Halal Tamat Tempoh Sejak Dua Tahun Lalu

0
72
Foto: Kosmo

TANJUNG MALIM – Tindakan sebuah kilang memproses pau dan kopi di sini yang beroperasi sejak 50 tahun lalu menggunakan sijil halal tamat tempoh mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh sepasukan penguat kuasa dari KPDN Cawangan Tapah dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Operasi bersepadu ini hasil semakan ke atas pemegang-pemegang sijil halal yang masih menggunakan logo halal walaupun telah tamat tempoh sah iaitu pada bulan September 2022.

“Pengusaha pau tersebut telah dinasihati oleh pihak JAIPk untuk memperbaharui permohonan sijil halal, namun perkara tersebut tidak diendahkan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, seorang lelaki tempatan yang berusia 50-an dipercayai pemilik kilang telah ditahan dan siasatan awal mendapati premis itu telah beroperasi lebih dari 50 tahun dan mempunyai empat cawangan

Tambahnya, sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita pau dan kopi yang menggunakan logo halal tanpa diperakui oleh pihak berwibawa iaitu JAIPk.

“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM30,000.00. Kes disiasat di bawah Perintah 8 (a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here