Kes Langgar, Tikam Warga Emas, Sepasang Suami Isteri Direman Tujuh Hari

0
93

MARANG, 2 November- Sepasangan suami isteri direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes langgar dan tikam seorang warga emas dalam kejadian di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu awal pagi Rabu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Marang bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Kedua-duanya ditahan oleh sepasukan anggota polis di sebuah kediaman di Wakaf Tapai, Marang pada Rabu.

Suspek utama, wanita berusia 35 tahun yang bekerja sebagai peniaga dan suspek kedua seorang mekanik berusia 37 tahun itu ditahan ditahan susulan kejadian seorang pesara kerajaan ditemukan maut dengan kesan tikaman pada badan dipercayai dibunuh rakan kongsi perniagaan.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mangsa yang berusia 65 tahun ditemukan maut dalam longkang dipercayai dilanggar oleh suspek yang juga rakannya berusia 35 tahun sebelum bertindak menikam mangsa bertubi-tubi.

Mangsa ditemukam dengan kira-kira 15 tikaman pada badan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara kedua-dua wanita tersebut dimana suspek dan mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil agihan keuntungan perniagaan jualan pakaian yang dijalankan mereka berdua.

Ekoran pergaduhan itu, suspek yang ketika itu berada di dalam kereta bertindak melanggar mangsa sebelum turun dari kenderaan dan menikam mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah van.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here