KUALA LUMPUR, 12 Disember- Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-48 (26 November-2 Disember) adalah sebanyak 2,988 kes berbanding 2,686 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 302 kes (11.2%).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi satu kenyataan berkata terdapat satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan untuk tempoh tersebut.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-48 adalah sebanyak 111,417 kes berbanding 58,239 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 53,178 (91.3%).
“Manakala sejumlah 84 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 39 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022,”katanya.
Jelas Dr Muhammad Radzi, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 95 lokaliti berbanding 79 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Beliau berkata, daripada 95 lokaliti yang dilaporkan, 71 lokaliti di Selangor, 10 lokaliti di WPKL & Putrajaya, lapan lokaliti di Perak, empat lokaliti di Sabah serta masing-masing satu lokaliti di Johor dan Sarawak.
“Antara punca peningkatan kes denggi adalah disebabkan peningkatan curahan hujan berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL). Keadaan ini boleh menyumbang kepada peningkatan bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes,”jelasnya.
Sementara itu, bagi survelan chikungunya, menurut Dr Muhammad Radzi, terdapat empat kes dan satu wabak aktif dilaporkan.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 192 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 3,479 sampel darah dan 379 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Bagi mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat, masyarakat disarankan bersama-sama melakukan tindakan pencegahan seperti mencari dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti bekas-bekas yang boleh menakung air bersih dan jernih serta terlindung daripada cahaya matahari.
Selain, meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik pada bekas yang ada air jernih bertakung seperti dalam pam tandas, dalam mangkuk tandas yang tidak digunakan/ rosak atau dalam kolah serta melakukan semburan aerosol dalam premis pada waktu awal pagi dan lewat petang bagi membunuh nyamuk dewasa.