KUALA LUMPUR, 20 Disember- Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi satu kenyataan hari ini menegaskan, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa empat minggu dari sekarang.
“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
“Selain itu, Malaysia turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia,” kata Anwar.
Tambah Perdana Menteri sekatan tersebut adalah berkuat kuasa serta-merta.
Jelas Anwar, keputusan berkenaan tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.
Beliau berkata, pada 2002, Kabinet Malaysia mula membenarkan kapal milik syarikat ZIM berlabuh di Malaysia dan pada 2005 pula, memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di negara ini.
“Begitupun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,”tegas Anwar.