Kerajaan Kenal Pasti Tiga Kaedah Tambah Baik Penyasaran Subsidi

0
121
Foto: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 November- Kerajaan kini mengenal pasti semula penyasaran bagi menambah baik kedudukan fiskal negara sekali gus memberi manfaat kepada rakyat, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Sehubungan itu katanya, perbincangan mengenai kaedah program penyasaran subsidi petrol dan diesel, telah diadakan pada Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh wakil Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Rafizi menjelaskan mesyuarat tersebut melibatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pihak berkepentingan selain pandangan rakyat melalui kaji selidik.

Menurutnya,terdapat tiga kaedah yang dicadangkan bagi penyasaran tersebut.
 

“Antaranya dengan pemberian subsidi secara bersasar mengikut pendapatan secara individu melalui pendekatan perlindungan sosial, kedua pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah dan melalui pendekatan hibrib iaitu gabungan perlindungan sosial dan bantuan sosial.

“Serta, pertimbangan ketiga ialah pemberiaan subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah gabungan tetapi kaedah ‘cut’ subsidi,”katanya.

Tambah Rafizi, penyasaran tersebut akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri bulan ini.

Beliau berkata keputusan khusus akan diumumkan mengikut garis masa yang ditetapkan kelak namun pelaksanaan penyasaran subsidi itu hanya boleh dilaksanakan selepas tempoh pengesahan dan verifikasi maklumat isi rumah dan pendapatan selesai terlebih dahulu untuk memastikan kelayakan setiap isi rumah.

“Buat masa ini, sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka akan dibuka kepada orang ramai bermula Januari tahun hadapan,” katanya.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah menyediakan peruntukkan yang besar bagi menampung subsidi dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.

Untuk rekod, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM58.1 bilion untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat.

Sejak 2015 hingga 2023, jumlah subsidi serta bantuan sosial yang ditanggung kerajaan berjumlah RM294.5 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here