Kerajaan Arah Kedutaan Besar Malaysia Di Lubnan Ambil Langkah Berjaga-Jaga

0
47
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kerajaan telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di Lubnan termasuk pasukan pengaman ATM-PBB iaitu MALBATT yang berkhidmat bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Ia berikutan konflik Palestin-Israel yang semakin berterusan dan memandangkan kawasan di Selatan Lubnan turut menjadi serangan pihak Israel.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia serta keluarga yang kini bermastautin di Lubnan. Dalam keadaan semasa, warga Malaysia disaran agar dapat menangguhkan perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke Lubnan.

“Sebagai langkah awal, Kerajaan telah memutuskan agar ahli keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia kembali ke Malaysia sehingga keadaan keselamatan membenarkan, sebagai langkah pro-aktif Kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.

“Pun begitu, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,”menurut kenyataan tersebut.

Jelas Wisma Putra, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaaan boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut.

Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan beralamat di Lot 170, Saad Zaghloul Street Downtown Beirut, Lebanon dan boleh dihubungi menerusi talian +961 (1)1970207 (pejabat) atau +961-71380063 (telefon bimbit) atau emel di mwbeirut@kln.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here