Keracunan Makanan: KPM Lakukan Siasatan Penuh

0
66
Foto: Utusan Borneo Online

GUA MUSANG: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan siasatan penuh dan terperinci berhubung kejadian lebih 70 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu mengalami keracunan makanan Sabtu lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementerian memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan kesihatan pelajar.

“Tindakan susulan sedang diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri bersama Kementerian Kesihatan untuk menyiasat punca keracunan makanan,” katanya selepas Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text di bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan sebanyak 75 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami keracunan makanan dan telah menerima rawatan, bagaimanapun tiada kes kemasukan wad dilaporkan.

Beliau berkata kes pertama dikesan pada 20 April dan kes terakhir semalam, dipercayai berpunca daripada menu ayam yang dihidangkan kepada mereka.

Sementara itu, seorang ibu kepada pelajar berkenaan yang enggan dikenali berharap pihak sekolah lebih teliti dalam menyediakan makanan kepada pelajar untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus menjejaskan kesihatan pelajar.

“Anak saya baru pulang daripada kem yang diadakan di sekolah berkenaan selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu lepas kira-kira 6.30 petang itu dan mula menunjukkan tanda-tanda keracunan makanan iaitu pening kepala, loya, muntah selain mengalami cirit-birit,” katanya.

Menurutnya, menu terakhir yang dimakan oleh pelajar yang menyertai kem kepimpinan berkenaan ialah nasi putih bersama gulai dan ayam goreng yang didapati telah berbau busuk.

“Saya berharap pihak sekolah terutamanya kantin lebih teliti dalam menyediakan makanan kepada pelajar memandangkan kejadian ini dipercayai bukan yang pertama berlaku membabitkan keracunan makanan kepada pelajar di sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.- BERNAMA

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here