Keputusan SPM 2023 Diumum 27 Mei Ini

0
68
Foto: Sinar Harian

Kuala Lumpur: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bakal diumumkan pada 27 Mei ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan calon yang menduduki peperiksaan itu di sekolah, boleh memperoleh keputusan daripada sekolah masing-masing bermula 10 pagi.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.

KPM juga berkata, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan bermula 10 pagi pada 27 Mei sehingga 6 petang pada 2 Jun.

“Calon juga boleh mendapatkan keputusan secara sistem pesanan ringkas (SMS). Untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

“Sistem ini akan diaktifkan bermula 10 pagi pada 27 Mei sehingga 6 petang pada 2 Jun,” katanya.

KPM turut mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan SPM 2023.

“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan,” katanya.

Seramai 395,870 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here