PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan agar tahu tujuan utama menjalankan kempen boikot produk Israel yang tidak hanya tertumpu kepada restoran makanan segera semata-mata kerana ia turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan di negara ini.
Menurut Kosmo, pendakwah bebas dan personaliti televisyen, Ustaz Don Daniyal mempersoalkan sikap rakyat Malaysia yang hanya menyasarkan restoran makanan segera untuk diboikot sedangkan masih terdapat banyak syarikat-syarikat besar di Malaysia menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan buat negara Israel.
“Sebagai contoh, maaf… hari ini orang banyak cakap tentang ‘fast food’ (makanan segera), ramai kawan kita yang bekerja di restoran makanan segera kena berhenti kerja dan sebagainya.
“Kenapa orang hanya tuju kepada restoran makanan segera semata-mata, kenapa syarikat-syarikat besar yang asal penubuhannya dari Israel sendiri kita tidak pernah bincang pun.
“Para CEO syarikat besar itu tiada seorang pun suruh mereka letak jawatan, seolah-olah pada saya, nampak berat sebelah. Orang yang berjawatan besar, orang yang ada kuasa, syarikat-syarikat yang bertapak besar, tak ada siapa pun nak pergi cakap suruh boikot. Sebaliknya rakyat-rakyat marhaen yang boleh kita ‘titik’, kita ‘titik’ betul-betul sampai teruk kehidupan mereka,” katanya.
Menurut Don, untuk menjalankan kempen boikot ia perlulah bersasar dan tidak dilakukan secara melulu.
“Pertama, boikot ada tak dalam Islam? Ada. Nabi biasa boikot sahabat-sahabat Nabi yang tak turun perang. Memang ada perbuatan boikot. Yang kedua, bila kita nak boikot, buatlah mengikut perintah Ulul Amri, maksudnya jangan boikot ‘membabi buta’ (sesuka hati), itu istilah dia.
“Situasi ini bukan satu benda yang senang bagi seseorang yang bekerja menanggung keluarga. Balik rumah beritahu dia tak ada kerja, dia dibuang kerja. Itu bukan satu perkara yang menarik,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Don memberitahu terdapat restoran makanan segera di negara ini secara terang-terangnya dimiliki oleh orang Islam dan pengurusannya juga tidak berpihak kepada Israel, namun masih menjadi lokasi utama dalam senarai kempen boikot rakyat Malaysia.
“Kita semua maklum di negara kita cawangannya dimiliki oleh orang Islam sendiri, dijaga dan tak diberikan langsung sumbangan dan sebagaiya (kepada Israel). Benda itu sudah dimaklum kepada kita, ia masih juga orang buat (boikot).
“Jadi pada saya, kalau nak boikot mesti ikut ketua yang sememangnya nak boikot, jangan sewenang-wenangnya kerana kita akan membinasakan institusi kekeluargaan seseorang. Berjuang mesti ada arah tuju.
“Bukan restoran makanan segera sahaja yang datang daripada Israel, banyak syarikat-syarikat besar lain berasaskan Israel. Tak ada pun orang nak ajak boikot, tak ada pun orang nak suruh CEO dia letak jawatan,” katanya.
Sementara itu, seorang individu tampil menjelaskan bahawa pembayaran royalti sesebuah restoran makanan segera di negara ini kepada negara asing adalah sekitar 9.4 peratus daripada lima peratus yang dikeluarkan, lapor Kosmo.
Katanya, lima peratus yang dikeluarkan itu adalah hasil keuntungan bersih syarikat tersebut, namun ia dipecahkan kepada dua perkara itu melibatkan pembayaran kepada pemegang saham bebas dan pemegang saham terbesar.
“Contoh McDonald’s Malaysia, pemegang saham bebas dibayar 70.14 peratus daripada nilai lima peratus, dan merka ini kemungkinan terdiri daripada orang Islam sendiri, dan pemegang saham besar dia, Vanguard Group hanya menerima bayaran 9.4 peratus daripada hasil keuntungan lima peratus, itu sikit sahaja, tapi itulah yang anda boikot sangat.
“Tetapi yang anda guna iklan berbayar di Facebook, Instagram, YouTube, Google, anda tak boikot pula? Sedangkan benda ini penyumbang terbesar dengan nilai 100 peratus kepada Israel. Sumbangan ini bukan berjuta, tetapi nilai dia berbilion,” terangnya dalam satu video tular di TikTok.
Sumber: Kosmo