KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Seorang pemilik syarikat pengimport beras dan rempah ratus didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek membekalkan produk beras kepada Kedah Agro Holding Bhd berjumlah RM22.7 juta, enam tahun lepas.
Tertuduh, C.Kuganeswaran, 37, pemilik syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd begaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob di sebuah hospital swasta di Klang di mana dia menerima rawatan.
Dia didakwa memberikan tiga set dokumen tuntutan palsu kepada seorang ejen SME Development Bank Malaysia Berhad berkaitan Kemudahan Pembiayaan Komoditi Murabahah Berjangka-i/Kemudahan Pembiayaan Komoditi Murabahah Berputar-i bagi projek membekalkan produk beras itu berjumlah RM22,760,000 yang tidak dilakukan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat SME Development Bank Malaysia Berhad di sini pada 27 Jan serta 1 dan 14 Mac 2017 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Rozina membenarkan Kunageswaran diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 November ini untuk sebutan kes .
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.