Kempen Tempat Duduk ‘Percuma’, AirAsia Tawar 10 Juta Tempat Duduk Untuk Pengembara

0
53
Foto: Berita Sabah

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2024 – AirAsia kembali menawarkan kempen Tempat Duduk PERCUMA* dengan 10 juta tempat duduk promosi untuk terus menyokong industri pelancongan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau ini. Kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan memperkukuh ekonomi di 130 destinasi pelancongan yang ditawarkan.

Kempen ini membolehkan pengembara di rantau ini menerokai destinasi menakjubkan seperti Da Nang, Pattaya, Medan, Guwahati, Siem Reap serta banyak lagi secara percuma* dan merangsang ekonomi tempatan. Para pengembara juga boleh mengambil peluang ini untuk melancong dalam negara ke Kuching, Pulau Pinang, Langkawi dan Alor Setar seterusnya menyokong industri pelancongan dan ekonomi tempatan.

Bagi para pengembara yang ingin terbang lebih jauh, terokai destinasi antarabangsa dengan AirAsia X untuk merasai pengalaman menakjubkan atau hidangan tempatan enak di Taipei, Xi’an, Perth, Almaty, Tokyo, Seoul, dan banyak lagi. Tambang promosi ke pelbagai destinasi bermula daripada RM279** termasuk semua sehala.

Sempena kempen tempat duduk PERCUMA ini, AirAsia menganjurkan acara besar-besaran di Sunway Velocity, Kuala Lumpur selama dua hari bermula pada hari ini hingga Ahad 9 Jun 2024. Acara ini menawarkan peluang kepada para pengunjung untuk memenangi hadiah hebat termasuk penerbangan percuma, penginapan di hotel, barangan eksklusif dan banyak lagi daripada Santan, TTRacing, Montigo, Shihlin Taiwan Street Snacks, Everland Resort Korea, Elevete, Playmade dan Galaxy Macau Integrated Resort Andaz Macau.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Paul Caroll berkata: “Kempen Tempat Duduk PERCUMA* AirAsia ini bertujuan untuk terus menawarkan nilai terbaik kepada para tetamu kami di samping meningkatkan kesalinghubungan di seluruh rantau ini melalui rangkaian luas kami. Inisiatif ini juga dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan menyumbang kepada pemulihan sektor pelancongan selepas pandemik.

“Pada tahun ini sektor pelancongan Asean dijangka mengalami pemulihan yang lebih baik, di mana Malaysia menetapkan sasaran 27.3 juta pelancong asing dan Asean secara keseluruhan menjangka lebih 100 juta kehadiran pelancong. Justeru, kami berbesar hati untuk terus menawarkan perjalanan dengan tambang berpatutan bagi menyokong perniagaan tempatan seperti hotel, restoran, agensi pelancongan dan perniagaan runcit yang semakin berkembang mengikut permintaan perjalanan. Dalam pada kita memasuki penggal kedua pada tahun ini, kami berharap untuk terus menyumbang kesan ekonomi positif di pelbagai sektor melalui kempen ini, seterusnya memacu pertumbuhan industri pelancongan di rantau ini secara keseluruhan.”

Kempen Tempat Duduk PERCUMA* AirAsia bermula pada hari ini, 8 Jun 2024 pada jam 12 tengah hari (GMT+8). Semua penerbangan promosi boleh ditempah mulai hari ini sehingga 16 Jun 2024 hanya di aplikasi AirAsia MOVE (dahulu dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com untuk tempoh perjalanan antara 2 September 2024 hingga 8 Oktober 2025.

Bagi meningkatkan pengalaman perjalanan, AirAsia juga menawarkan pakej tambahan kepada para tetamu yang menempah penerbangan mereka semasa tempoh promosi ini. Nikmati diskaun*** sehingga 70 peratus bagi elaun bagasi daftar masuk, hidangan dalam penerbangan, pilihan tempat duduk dan insurans perjalanan.

Selain Tempat Duduk PERCUMA*, para tetamu AirAsia juga boleh menikmati tawaran hotel di aplikasi AirAsia MOVE. Tempah penginapan sekurang-kurangnya dua malam di hotel terpilih dan nikmati malam kedua dengan hanya RM9. Rancang percutian dengan penginapan terbaik di Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Filipina dari 10 Jun hingga 16 Jun 2024, untuk tempoh perjalanan antara 10 Jun hingga 31 Disember 2024.

*Tambang promosi Tempat Duduk PERCUMA hanya terpakai untuk TAMBANG ASAS sahaja, tidak termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan. Tambang promosi bermula daripada RM29 sehala (Domestik) dan RM60 sehala (Antarabangsa). Tertakluk pada terma dan syarat lain.

**Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja daripada RM279, termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.

***Harga mungkin berbeza bergantung kepada lapangan terbang tempatan untuk harga bagasi daftar masuk dan pilihan tempat duduk. Tertakluk pada terma dan syarat lain.

Sumber: AirAsia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here