SELEPAS Instagram (IG) digodam pada penghujung 2022, ia benar-benar mengganggu kerjaya seni penyanyi, Shahir Zawawi. Apatah lagi platform itu penting untuk di berkongsi perkembangan diri dan kerjaya nyanyiannya.
Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 36, mencuba pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan semula akaunnya, termasuk merayu penggodam itu kembalikannya.
Namun, nasib tidak berpihak kepadanya. Dalam tempoh hampir dua tahun, dia kehilangan komunikasi dengan industri hiburan sekali gus mencetuskan rasa sangsi untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.
“Hakikatnya saya pernah berada di fasa ingin perlahan-lahan tinggalkan industri hiburan. Saya hilang punca selepas IG (Instagram) digodam.
“Saya putus akal sebab sudah cuba bermacam cara bersama orang terdekat, malah peminat pun turut bantu,” katanya yang kini sudah membuka akaun Instagram baru pada Julai lalu.
Juara Akademi Fantasia 8 (AF8) itu pun sebenarnya masih teruskan kerjaya seni dalam tempoh berkenaan. Dia masih cuba sedaya-upaya untuk semarakkan namanya dengan beberapa karya muzik.
Namun, memang dia rasa sangat ralat apabila tiada platform untuknya ke depan. Padahal, dia juga teringin promosi diri dan lagunya sebagai bukti dia masih lagi berada dalam industri.
“Dalam tempoh dua tahun kehilangan Instagram itu, saya masih membuat persembahan. Cuma saya tidak dapat kongsi perkembangan kerana tiada platform media sosial.
“Ada saja saya keluar lagu bersama Mawi berjudul Qasidah Untuk Kamilah. Tahun lalu ada lancarkan lagu Retak bersama Muniz Hijjaz.
“Tapi saya tiada ruang berkomunikasi dengan sahabat-sahabat media, orang industri dan peminat. Itu yang membuatkan saya terfikir orang akan perlahan-lahan lupa,” katanya.
Apabila sudah buka akaun Instagram baru, Shahir juga ada meluahkan hasrat cuba mendaki semula dari bawah. Semangatnya memang sangat berkobar untuk bermula semula.
“Alhamdulillah saya mendapat maklum balas peminat yang mendoakan dan memberi kata semangat. Ada yang cakap suruh kembalilah (menyanyi) dan buat lagu lagi.
“Walaupun tidaklah seramai dulu, tapi saya dapat merasakan mereka inilah yang ikhlas mahukan saya berkarya. Kerana merekalah saya dapat semangat balik untuk kembali,” katanya.
Shahir tidak menafikan timbul rasa cemburu apabila menonton artis lain buat persembahan pentas. Bukan kerana soal punca pendapatan saja tapi kerana cintanya terhadap muzik.
Cukup indah aturan takdir, rezekinya untuk kembali membina nama hadir selepas label World Peace Entertainment (WPE) melamarnya jadi artis naungan mereka pada Mac lalu.
Tidak menerimanya bulat-bulat, Shahir bertanya mereka sama ada cukup yakin melabur untuknya. Hatinya diketuk untuk bersetuju menerima lamaran itu kerana misi WPE yang tepat dengan jiwanya.
“Sebenarnya yang paling menggerakkan saya untuk kembali adalah WPE sendiri. Bila mereka datang lamar saya sebagai artis rakaman, itulah waktu yang paling tepat dan sesuai.
“Saya ada bertanya apa hala tuju mereka. Mereka beritahu ingin sebarkan kebaikan dan saya nampak ada unsur-unsur Islamik dalam syarikat itu. Sebab itu saya selesa berada di bawah naungan mereka.
“Sebenarnya ada beberapa syarikat juga yang bertanya dan melamar. Tapi mungkin situasi ketika itu tidak mengizinkan, tak berapa sesuai dan saya tak dapat beri komitmen,” katanya.
Baru-baru ini, Shahir melancarkan lagu baru berjudul Aksara sebagai pertaruhan sulung sejak bersama WPE. Lagu terbabit turut mendapat sentuhan komposer hebat Omar K dan Iqie Hugh.
Shahir turut menampilkan isterinya, Jaskin Jaludin, 32, di dalam muzik video (MV) lagu itu. Pemilihan isterinya itu sebagai tanda penghargaan bersempena ulang tahun kedua perkahwinan mereka.
“Lagu dan MV itu memang berkisarkan kisah kami. Selama ini, ketika saya melakonkan mana-mana MV saya tak dapat menjayakannya lebih nyata kerana tak boleh berpegangan dan sebagainya.
“Kali ini saya ingin bawakan sesuatu yang bila orang tengok, ia nampak nyata,” katanya.
Sumber – Harian Metro