Kelantan Akan Bincang Garis Panduan Pakaian Sukma 2028 Patuh Syariah

0
126
Foto: Sinar Harian

KOTA BHARU, 27 November- Kerajaan Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung garis panduan pakaian sukan patuh syariah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang bakal dianjurkan negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Zamakhshari Muhamad.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana negeri berkenaan akan menjadi tuan rumah bagi temasya tersebut nanti.

“Terdapat acara-acara sensitif yang perlu dibincangkan melibatkan pemakaian secara patuh syariah seperti akuatik dan gimrama, oleh itu kerajaan negeri akan membincangkan perkara ini dengan kementerian.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak MSN negeri dan akan berbincang serta berunding dengan KBS dan MSN pusat juga bagi melihat ruang-ruang untuk memastikan acara nanti dapat patuh syariah,” katanya.

Jelasnya lagi, usaha itu turut dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Rodzi Ja’afar (Pas-Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sementara itu, berkata kerajaan Kelantan juga akan memanfaatkan peruntukan RM276 juta daripada kerajaan Pusat antaranya untuk membina enam fasiliti di Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh dan sebuah pusat akuatik di Madinah Al-Salam, Tunjong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here