Kegiatan ‘Sarang Pelacuran’ Perlu Dihapuskan – Pakar Kriminologi

0
54

Kuala Lumpur: “Kita perlu menghentikan kegiatan ekonomi gelap dan keji ini,” kata Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim, berkaitan usaha menghapuskan pusat pelacuran di ibu negara.

Menurut beliau, untuk memastikan kejayaan usaha ini, semua pihak perlu memainkan peranan dalam melaksanakan langkah bersepadu tersebut.

“Sejak sekian lama, tiada pihak dibenarkan menjalankan aktiviti pelacuran di negara ini.

“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan tidak bermoral ini tetap berlaku. Malah, terdapat lokasi yang dikategorikan sebagai pusat pelacuran seperti sekitar Pudu dan jalan-jalan tertentu seperti Lorong Haji Taib,” katanya.

“Peranan untuk mengambil tindakan perlu dilakukan oleh semua pihak, termasuk Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Wilayah Persekutuan, dan Menteri Agama, dengan kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi, adalah menyedihkan apabila terdapat pihak yang sanggup menerima imbuhan daripada sindiket pelacuran dan menutup mata terhadap kegiatan tersebut.

“Jangan biarkan kegiatan pelacuran berleluasa. Pekerjanya pula bertukar ganti, dengan yang sudah ‘pencen’ digantikan dengan yang lebih muda,” katanya.

Menurut pendedahan itu, terdapat pelacur yang mencari pelanggan di medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong.

Hasil pendedahan eksklusif itu, Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menyerbu lokasi tersebut dan menahan 27 individu, termasuk GRO dan pelacur.

Susulan tindakan itu, polis mendedahkan bahawa mereka telah mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menyatakan bahawa antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Jalan Petaling, Jalan Gelang, dan Jalan Pudu.

Dalam isu yang sama, penganalisis keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam, mengatakan bahawa Malaysia juga berupaya menutup lokasi pelacuran tersebut.

“Indonesia berjaya menutup kawasan Dolly di Surabaya yang telah lama berakar sebagai pusat pelacuran terbesar di Asia Tenggara.

“Oleh itu, tidak mustahil bagi Malaysia untuk melakukan perkara yang sama,” katanya.

Isu pelacuran di ibu negara yang didedahkan oleh Harian Metro juga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa. Beliau dilaporkan berkata bahawa untuk menjamin keharmonian dan kesejahteraan warga kota, perbincangan lanjut akan diadakan untuk memperluaskan terma rujukan ‘KL Strike Force’.

Zaliha turut menyatakan bahawa satu strategi baru perlu dikaji dan diteliti di mana-mana kawasan yang dilaporkan dan dikenal pasti sebagai kawasan aktiviti pelacuran.

“Merubah wajah dan imej kawasan yang berkaitan boleh dilaksanakan melalui program pembaharuan semula bandar dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan, kebolehdiaman, dan daya ekonomi,” katanya kepada Harian Metro.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here