Kecewa Tiada Gol, Harimau Malaya Mahu Fokus Kelayakan Piala Dunia

0
52
Foto: Sinar Harian

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan negara, Matthew Davies mengakui barisan pemain negara berada dalam keadaan kecewa selepas final Pestabola Merdeka malam tadi.

Katanya, setiap pemain telah berikan yang terbaik di dalam padang namun rezeki belum memihak kepada Harimau Malaya meskipun mempunyai deretan peluang yang terhidang.

“Bukan terlalu yakin, saya rasa kita buat terbaik malam ini cuma tidak dapat gol, tiada rezeki untuk dapatkan gol.

“Nasib tak memihak kepada kami dan mereka lakukan serangan balas, jadi macam saya cakap tiada rezeki, keputusan itu tidak baik untuk kami tapi apa pun kita fokus kepada kelayakan Piala Dunia bulan depan,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Davies turut mempunyai peluang mendapatkan jaringan namun percubaanya sedikit tersasar dari pintu gol.

Malah dia turut mengakui bermain di tempat sendiri memberi kelebihan buat pasukan negara ketika bertemu Tajikistan.

“Saya kecewa juga tidak dapat bantu pasukan untuk dapatkan satu gol di separuh masa pertama. Kecewa memang kecewa tak dapat bantu pasukan.

“Kami dominasi permainan sebab beraksi di tempat sendiri, jadi tidak banyak beza. Kita ada semua peluang, kita ada kualiti cuma tidak menjaringkan gol dengan peluang yang ada,” katanya.

Terdahulu, dua jaringan dari Soirov Rustam dan Samiev Shahrom pada minit 44 dan 88 sudah cukup untuk membantu Tajikistan muncul juara Pestabola Merdeka sekali gus meranapkan impian pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menjulang piala di hadapan penyokong sendiri.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here