Keadaan Fatimah Makin Merosot, Ibu Minta Titipkan Doa

0
49
Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: “Keadaan kesihatan Fatimah semakin merosot. Hari ini dia (Fatimah) diintubasi untuk menjalani biopsi. Tolong doakan Fatimah,”

Begitu reaksi Nor Ashila Mohamed Ismail, 43, ketika dihubungi Harian Metro bagi mengetahui keadaan anak keduanya, Fatimah Omar Mukhlis, 10, yang kini mendapat rawatan di Hospital Birmingham, United Kingdom (UK).

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Nor Ashil turut berkongsi perkembangan terkini Fatimah untuk dikongsikan dengan pengikut platform berkenaan.

“Bismillahirrahmanirrahim… banyak yang berlaku beberapa hari lalu.

“Pendarahan Fatimah berhenti sejak Jumaat lalu namun keadaan kesihatannya merosot.

“Kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan, ingin memohon jasa baik kamu semua untuk terus mendoakan kesayangan kami, Fatimah Omar Mukhlis.

“Semoga Allah permudahkan urusan biopsi Fatimah hari ini tanpa sebarang komplikasi. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah,” katanya.

Nor Ashila turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak putus bertanya khabar, mendoakan dan menitipkan kata-kata semangat buat Fatimah dan mereka sekeluarga.

“Ramai yang tertunggu-tunggu berita Fatimah dan sebab itu saya kongsi perkembangan keadaannya.

“Ramai yang tak putus mendoakan, solat hajat, sedekah, buat tawaf di Makkah untuk Fatimah. Sebagai ibu, saya terharu sangat dengan apa dilakukan itu,” katanya.

Ditanya penyakit sebenar Fatimah, Nor Ashila memohon maaf kerana belum dapat berkongsi mengenainya setakat ini.

“Mintak maaf banyak, setakat ini kami hanya kongsi dengan keluarga dan rakan terdekat saja sebab Fatimah masih belum tahu mengenai penyakitnya.

“Insya-Allah, nanti doktor sudah beritahu Fatimah, kami akan kongsi dengan semua.

“Apa boleh saya kongsikan, Fatimah dimasukkan ke hospital sejak Mac kemudian dibenarkan keluar wad pada raya dan masuk semula.

“Kini sudah lebih sebulan Fatimah di hospital,” katanya.

Fatimah pernah tular di laman sosial kerana kefasihan kanak-kanak itu bertutur dialek Kelantan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here